cuba yang terbaik tawan hati pengundi balakong

BANGI - [DIKEMASKINI] Calon PH PRK Dun Balakong, Wong Siew Ki mengandaikan tidak akan mampu mencapai majoriti bergaya, 35,538 undi yang diperolehi mendiang, Eddie Ng Tien Chee.

Katanya, peratusan keluar mengundi antara pilihan raya umum dan pilihan raya kecil adalah berbeza namun, Siew Ki berjanji akan melakukan yang terbaik untuk menawan hati pengundi di Balakong.

"Merujuk peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini, tidak sampai 50 peratus pun.

"Mood pilihan raya umum dan pilihan raya kecil  tidak sama, tapi saya akan cuba yang terbaik untuk menawan hati pengundi di sini," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cuba yang terbaik tawan hati pengundi Balakong]

Menurut Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang itu berkata, tempoh kempen 21 hari antara 'waktu genting' terpanjang dalam sejarah kempen pilihan raya.

"Selepas ni kena mula kempen dah,  jadi mungkin kali ni kita kena guna masa sebaiknya sebab tempoh masa 21 hari agak panjang.

"saya rasa tempoh yang agak panjang  dalam sejarah pilihan raya Malaysia, jadi kita akan guna tempoh ini dengan efisien.

"Kita akan lebih mengutamakan 'walkabout',  cuba menemui pengundi sekerap yang mungkin, seramai yang kita boleh, jadi inilah kita punya persiapan," katanya.

Siew Ki tanpa berselindung memberitahu membeli kasut baharu semalam untuk persiapan 'perang' 21 hari akan datang

"Saya sudah beli kasut semalam, harapnya kasut itu boleh tahan 21 hari," katany sambil ketawa.

Dalam pada itu, ketika ditanya reaksi susulan pihak lawannya, MCA menggunakan logo sendiri bukannya gabungan BN.

"Saya rasa bagi dua-dua pihak pun ada kesan, kita pun kali pertama guna lambang PH.

"Jadi saya rasa ia satu permulaan yang sangtat baik untuk dua-dua pihak juga. Mungkin parti mereka kali pertama guna logo parti sendiri dan bagi kita, kita guna logo PH akhirnya DAP kini menampilkan kesatuan dalam PH," ujarnya.

PRK Dun Balakong menyaksikan  pertembungan satu lawan satu antara MCA dan PH.

Pertembungan itu antara Calon PH, Wong Siew Ki dengan Calon MCA, Tan Chee Teong.

Pengumuman calon itu dibuat kira-kira jam 10.30 pagi oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon, Datuk Rosli Othman, tidak ada sebarang pencalonan yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kawasan ini.

Kerusi Dun itu kosong selepas penyandangnya Ng Tien Chee daripada DAP maut dalam kemalangan pada awal pagi 20 Julai lalu.

Pada PRU 14 lalu, Tien Chee mengalahkan 2 pencabar, masing-masing daripada BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan kelebihan 35,538 undi.

Tien Chee memperoleh 41,768 undi berbanding Chin Wah (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).

SPR sebelum ini menetapkan PRK Balakong diadakan serentak dengan PRK Dun Seri Setia iaitu pada 8 September ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 18 Ogos dan hari mengundi awal pada 4 September.

Wong Siew KiBangi. PRK Balakong
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :