Saya tak akan lari dari parti ini: Budiman

SUNGAI BESAR - Bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang menghilangkan diri sejak kekalahan kerusi Parlimen itu kepada Pakatan Harapan (Harapan) memuat naik status di laman sosial Facebook beliau dengan menyatakan komitmen untuk terus sedaya upaya bekerja membantu rakyat.

Budiman berkata, beliau tidak sesekali mempersiakan lebih 17, 000 sokongan dan undi yang diraih pada PRU14 lalu.

“Kita menerima keputusan rakyat ini dengan berlapang dada, memberi peluang kepada pihak yang menang untuk membantu rakyat pula,” katanya.

Beliau turut mengingatkan diri dan ahli parti itu supaya terus bekerja demi rakyat dan jangan sesekali menyalahkan antara satu sama lain.

“Sejujurnya ia tidak mengubah keadaan. (Kita) terus berjuang, kesakitan itu kelaziman dalam perjuangan dan hanya mereka yang kuat, akan menghadapi gelora ini,” katanya.

Budiman menegaskan, beliau terus setia dan kekal bersama wajah perjuangan Umno untuk membantu rakyat.

“Saya tidak akan lari dari parti yang memandaikan bangsa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Budiman turut berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat diri beliau selama ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas parti BN, sukarelawan, orang perseorangan, peminat yang bertungkus lumus sepanjang tempoh kempen serta selama mana saya menjadi ahli Parlimen dan Dun,” katanya.

Budiman yang terkenal sebagai seorang yang aktif di media sosial tidak mengemas kini status di Facebook peribadinya sejak 9 Mei lalu.

Budiman Mohd ZohdiSungai Besar
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :