Pilih yang layak, orang muda

SHAH ALAM - Barisan menteri Kabinet yang dilantik perlu mendapat persetujuan konsensus daripada semua parti dalam Pakatan Harapan (Harapan).

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Roslee Ahmad berkata, selain mempunyai kelayakan serta kemampuan yang cukup untuk menyandang jawatan, individu yang dipilih juga perlu disaring terlebih dahulu terutamanya dari segi integriti.

“Kena ambil kira kelayakan mereka, sesuai atau tidak untuk pegang jawatan tersebut.

“Pemilihan ini juga perlu libatkan soal integriti individu tersebut, perlu seorang yang bersih dan pemilihan tersebut perlu mendapat persetujuan secara konsensus," katanya.

Menurutnya, pemilihan menteri Kabinet juga perlu melibatkan orang muda seperti Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Formasi parti yang ada dalam kerajaan persekutuan sekarang dilihat cukup baik, cuma perlu persetujuan konsensus dalam sebarang keputusan mengenai barisan menteri yang bakal dilantik.

“Personaliti orang muda seperti Nurul Izzah, Syed Saddiq dan Rafizi ini perlu dipertimbangkan kerana mereka ini berusaha dan bermula dari bawah di peringkat akar umbi untuk memenangkan Harapan. Mereka juga adalah suara masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan itu belum dimuktamadkan.

Katanya, sebarang keputusan mengenai pelantikan itu mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti dalam Harapan.