Bersatu Rompin 'diserang'

KUALA ROMPIN - Selepas Pakatan Harapan (Harapan) berjaya mengambil alih pemerintahan negara pada PRU14, Bersatu Rompin menerima 'serangan' mengejut termasuk daripada  pimpinan Umno yang mahu mendaftar sebagai ahli.

Parti itu juga dikatakan lebih popular dan menjadi pilihan pelbagai golongan untuk mendaftar sebagai ahli baru.

Ketua Bersatu Bahagian Rompin, Osman A Bakar, berkata, pihaknya diingatkan supaya bersabar  memutuskan sebarang keahlian selain isu dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang masih belum selesai.

Berdasarkan permohonan yang diterima, katanya, borang diklasifikasikan kepada empat kumpulan.

"Kumpulan pertama ialah pemimpin Melayu BN  yang mahu berhijrah ke parti Melayu lain.

Kumpulan kedua pula ialah orang yang ada kepentingan, seolah mencari 'payung' apabila mereka merasakan sudah tidak selamat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

Tambah Osman, kumpulan ketiga terdiri daripada mereka yang kecewa kemungkinan tidak dicalonkan atau tidak dapat jawatan dalam parti lama manakala yang keempat kumpulan atas pagar yang kini sudah yakin dengan Bersatu.

Bagaimanapun, katanya, tapisan perlu dilakukan kerana tidak mahu budaya parti lama 'masuk' dalam Bersatu.

Katanya, budaya Melayu dalam Umno perlu diubah iaitu perlu ada semangat seperti bagaimana Umno baru ditubuhkan hingga sanggup susah demi perjuangan bukan pentingkan harta semata-mata.

"Kita memang dalam usaha memperkukuhkan parti. Ketika kempen PRU14 ramai anak-anak muda tampil secara sukarela di bilik gerakan yang dibuka.

"Kita dah lihat kesungguhanan mereka dan insya-ALLAH akan menawarkan keahlian serta telah menyusun beberapa cawangan untuk dibuka. Kita juga akan utamakan pendaftaran ahli yang dah dikenal pasti khususnya yang beraksi sebelum pru14," katanya.

Osman A BakarRompin
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular