Mampukah BN pertahan Hulu Selangor?

TERLETAK di bahagian utara Selangor dan boleh dikatakan antara Parlimen yang menjadi deposit kemenangan BN.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor dipertandingkan sejak PRU yang pertama pada 1955 sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Pada ketika itu ia merupakan kerusi yang ditandingi Umno diwakili calon wanita, Halimathon Saadiah sebelum diserahkan kepada MCA pada PRU2 (1959) selama empat penggal sehingga PRU6 (1982).

Bermula PRU7 (1986), kerusi itu beralih tangan untuk ditandingi MIC sehingga sekarang (tujuh penggal).

Pada PRU7 calon BN, Datuk Seri Dr S Subramanian menang dengan majoriti tinggi apabila memperoleh 19,201 undi berbanding lawannya dari Parti Sosial Demokratik (SDP), Mohamed Arif Datuk Kamaruddin hanya 9,281 undi.

Mohamed Arif yang juga bertanding di kerusi Dun Kuala Kubu Bharu turut tewas kepada calon BN, Datuk Wong Ah Taih.

Dalan empat PRU berikutnya (PRU8 higga PRU11) menyaksikan Ketua MIC Bahagian Hulu Selangor ketika itu, Datuk G Palanivel berjaya mempertahankan penguasaan BN di Parlimen Hulu Selangor.

Namun rekod cemerlang beliau tercalar pada PRU12 (2008) apabila tewas kepada Zainal Abidin Ahmad (PKR) dengan majoriti tipis 198 undi apabila BN dipengaruhi isu nasional di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dua tahun kemudian pada 20 Mac 2010, Zainal Abidin meninggal dunia akibat barah otak dan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Dalam misi merampas kembali kerusi berkenaan,  BN meletakkan calon muka baharu, Datuk P Kamalanathan yang ketika itu adalah Ketua Penerangan MIC.

Meskipun pada awalnya BN dijangka mencalonkan semula Palanivel namun penggantikan itu ternyata membuahkan hasil.

Kamalanathan menang berdepan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Zaid Ibrahim dengan majoriti meningkat kepada 1,725 undi.

Beliau yang kini Ahli Majlis Tertinggi (MIC), Datuk P Kamalanathan mengekalkan rentak kemenangan pada PRU13 dengan majoriti lebih tinggi sebanyak 3,414 undi menewaskan calon PKR, Khalid Jaafar dan dua lagi calon Bebas.

Disebalik kejayaan tersebut, rekod tanpa kalah BN di tiga kerusi Dun lebur apabila BN kehilangan kerusi Dun Kuala Kubu Bharu selepas tewas kepada calon DAP.

Saingan PRU14 tidak lama lagi pasti menguji kekuatan sebenar BN di Hulu Selangor memandangkan kerusi Parlimen lebih dipengaruhi isu nasional selain faktor calon.

Dalan pada itu, tiga sayap Umno Bahagian Hulu Selangor (Wanita, Pemuda dan Puteri) pernah mengemukakan usul agar kerusi tersebut dikembalikan kepada Umno.

Usul berkenaan dibuat dengan mengambil kira komposisi kaum pengundi melayu yang kini mewakili 62 peratus diikuti cina, 21 peratus dan india 16 peratus.

Namun demikian menjelang PRU14, nama penyandang sedia ada, Kamalanathan disebut sebagai calon paling layak bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Menurut beliau, persiapan jentera BN dalam keadaan terbaik melalui semangat kerjasama antara semua komponen parti dengan keyakinan menang 4-0 di Hulu Selangor.

“Siapa calon terserah pada pucuk pimpinan partu dan saya sudah melakukan yang terbaik.

“Saya dan rakan seperjuangan lain di kerusi Dun bekerja dengan cukup baik dan semangat kita memang tengah berkobar-kobar sekarang,”katanya.

Pada PRU13 lalu seramai 74,939 pemilih keluar mengundi daripada keseluruhan 85,697 pemilih berdaftar membabitkan 137 peti undi di 48 pusat mengundi.

PRU12 milik PKR

Kejayaan PKR merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU12 bakal menjadi pembakar semangat kepada Pakatan Harapan bagi mengulangi kemenangan tersebut.

Walaupun kalah pada PRU13, nama Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Khalid Jaafar, 63, masih disebut-sebut sebagai calon PRU14.

Menurut Khalid, dia tidak mempunyai halangan dan akur dengan arahan parti kerana yakin tsunami melayu bakal berlaku di seluruh negara termasuk di Hulu Selangor.

“Saya masih berminat jika dicalonkan semula kerana jentera parti sudah bersiap sedia dan pengundi di sini terutama di Batang Kali sudah mencerung kepada Harapan,”katanya.

Antara nama lain yang disebut adalah Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, June Leow yang juga Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Sementara itu, Pas sekali lagi akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila secara rasmi mengumumkan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Hulu Selangor, Dr Wan Mat Sulaiman, 53, sebagai calon PRU14.

Terdahulu Pas meletakkan calon anak tempatan, Datuk Ismail Kamus pada PRU11 (2004) namun tewas kepada calon BN, Datuk G Palanivel.Wan Mat berkelulusan dari Universiti Al-Azhar dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab serta pernah berkhidmat sebagai pensyarah berstatus profesor madya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1989 hingga 2006) dan Universiti Brunei Darussalam (2006 hingga 2012).

Beliau yang menetap di Serendah juga merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Madinah dan kini aktif mengajar kuliah agama sebagai pendakwah bebas.

Halimathon SaadiahS SubramanianZainal AbidinBN BN Selangor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular