Kemenangan lambang harapan besar rakyat

KUALA TERENGGANU – Kemenangan meraih majoriti 14,773 undi bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu melambangkan hasrat dan harapan besar yang disandarkan rakyat terhadap kepimpinan Pas.

Calon Pas Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kemenangan itu juga membuktikan rakyat benar-benar mahukan satu perubahan yang mampu membela nasib mereka dan kerajaan baharu berupaya memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Saya percaya kemenangan besar yang diperoleh Pas di Kuala Terengganu dan di Terengganu keseluruhannya melambangkan hasrat rakyat yang mahukan perkhidmatan yang lebih baik diberikan kepada mereka. Ia adalah satu harapan yang besar.

“Jadi kita di peringkat Pas akan berusaha sedaya upaya untuk menterjemahkan dalam bentuk perkhidmatan terbaik sesuai dengan tema kita di peringkat parlimen dalam membentuk Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pas akan berusaha mencari jalan untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk kebaikan bersama.

“Kita akan cari jalan bagaimana boleh bekerjasama dengan semua pihak untuk kebaikan bersama begitu juga di peringkat negeri, saya selaku Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu, kita juga ada wakil rakyat dari Dun yang mungkin boleh berkongsi pandangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan menyapu bersih semua kerusi di Kuala Terengganu yang dalam PRU14 semalam disifatkan sebagai kemenangan besar buat parti itu sekali gus dapat mengembalikan daerah ini sebagai kubu kuat Pas.

Katanya, kemenangan itu diraih daripada hasil usaha gigih jentera parti dan tidak mampu dimenangi tanpa kesedaran rakyat walaupun jangkaan awal dari Pusat Penyelidikan Pas Pusat kerusi itu hanya memperoleh sekitar 11,000 majoriti.

“PRU ini Pas benar-benar berjaya menterjemahkan gelaran bahawa Kuala Terengganu sebagai kubu kuat Pas selama ini dan ia dibuktikan dalam jumlah majoriti besar yang diperoleh di semua kerusi Dun dan Parlimen.

“Walaupun berdepan dengan saingan tiga penjuru, Pas masih mampu mengekalkan rekod baharu dalam sejarah PRU dengan meraih kemenangan secara berseorangan,” katanya.

Berdasarkan keputusan sebelum ini, Pas mencipta rekod baharu di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 14,773 undi berbanding 10,785 yang diperoleh menerusi Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang bertanding atas tiket Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu.

Ahmad Amzad HashimKuala Terengganu Pas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :