'Kemenangan ini kemenangan rakyat'

IPOH – Kemenangan besar Harapan Perak pada PRU14 ini jelas menggambarkan bahawa rakyat di negara ini benar-benar mahukan perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

Pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi berkata, kemenangan berkenaan juga dilihat sebagai kehendak sebenar rakyat yang selama ini tidak menyuarakannya secara terbuka.

Justeru menurutnya, PRU14 menjadi medan terbaik bagi rakyat untuk menyatakan kehendak berkenaan.

“Pertamanya, terima kasih dan syukur kepada ALLAH SWT. Ini sebenarnya adalah mengikut kehendak rakyat.

“Ia adalah gelombang senyap. Mereka (rakyat), tidak bercakap, tetapi melalui gerak geri serta tindakan telah menunjukkan bahawa rakyat nekad melakukannya (ubah sistem pentadbiran),” katanya.

Bagi peringkat negeri Perak, Asmuni yang bertanding bagi kerusi Dun Manjoi  mendapat 20,052 undi sekaligus menewaskan penyandang, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abdini  yang hanya menerima 16,520 undi manakala calon Pas, Hafez Sabri mendapat 10,830 undi.

Asmuni berkata, pihaknya akan sedaya upaya cuba merealisasikan janji-janji daripada Harapan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto yang dilancarkan baru-baru ini.

“Kemenangan ini sebenarnya kemenangan rakyat. Saya hanyalah sebagai perantara untuk melaksanakan amanah.

“Semoga kita akan dapat melaksanakan tugas dalam tempoh 100 hari membentuk kerajaan. Yang lain, ikut kemampuan kita,” katanya.
 

Asmuni AwiIpoh Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :