adun menglembu umum tak tanding

IPOH - Ketua Wanita DAP Perak, Lim Pek Har umum tidak bertanding mempertahankan kerusi Dun Menglembu pada PRU14 ini.

Keputusan itu mengikut jejak langkah dua lagi wakil rakyat parti berkenaan yang mengumumkan perkara sama iaitu  Chen Fook Chye (Keranji) dan Teh Hock Ke (Jelapang), bulan lalu.

Pek Har, 52, berkata, pengunduran diri itu bagi memberi laluan kepada calon muda yang turut mempunyai potensi serta kredibiliti sebagai wakil rakyat.

Pihaknya telahpun mengemukakan nama Pengarah Biro Pengaduan Awam DAP negeri, Steven Chaw Kam Foon yang juga merupakan Setiausaha Politiknya bagi mengisi kekosongan ditinggalkan.

“Saya sudah melalui tiga penggal dalam pilihan raya, jadi sudah sampai masa kita beri laluan kepada calon lain, saya akui ia bukan satu keputusan mudah, tetapi ini untuk kebaikan parti,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada PRU11, beliau tewas kepada calon BN di Dun Tronoh sebelum menukar kerusi di Dun Menglembu pada PRU12 dan menang bagi dua penggal berturut-turut.

Pek Har berkata, meskipun beliau tidak lagi bertanding, kuota dua kerusi untuk wanita masih dikekalkan parti pada pilihan raya ini.

Menurutnya, selain beliau, seorang lagi calon wanita DAP yang menang pada PRU lalu adalah Wong May Ing (Pantai Remis).

“Siapapun calon di Menglembu nanti, saya akan tetap beri sokongan penuh,” katanya.

Tahun lalu, dua Adun BN iaitu Ahmad Hasbullah Elias (Kubu Gajah) dan Datuk Mohamad Daud Mohamad Yussof (Selama) turut menyatakan hasrat tidak mahu bertanding pada PRU14.

Lim Pek HarMenglembuPerak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular