Waktu pengundi buat penilaian

SEREMBAN - “Tempoh 11 hari ini bukannya waktu untuk saya berkempen, tapi waktu pengundi buat penilaian terhadap khidmat saya kepada mereka selama ini,” kata calon BN Dun Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Beliau yang berusia 66 tahun merupakan penyandang bagi kerusi Dun berkenaan selepas menewaskan calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas dengan majoriti tipis 89 undi pada PRU13.

Menurutnya, kemenangan tipis itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana ia merupakan penampilan pertamanya bertanding dalam pilihan raya.

Beliau yang merupakan Nazir Masjid Jamek Dato Petra Sendeng berkata, perjuangan politiknya selama ini berteraskan keikhlasan semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat. 

“Pengundi yang matang akan buat penilaian dari awal khidmat yang diberi oleh kerajaan BN kepada mereka, bukannya dalam tempoh berkempen ini.

“Saya pun tidak meletakkan sebarang strategi sepanjang tempoh berkempen ini, melainkan banyak turun padang berjumpa dengan pengundi. Saya bersyukur kerana sehingga kini maklum balas diberi amat positif,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Gotong-Royong Rakyat di Taman Bukti Ampagan di sini.

Dun Ampangan menyaksikan Abu Ubaidah dicabar oleh Mustaffa Daharun yang mewakili Pas dan Dr Mohamed Rafie Ab Malek dari PKR.

Beliau berkata, hasil pemerhatiannya penduduk sekitar Dun Ampangan yakin dengan BN yang dilihat mampu memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

“Setiap kali saya mendekati penduduk, mereka memberi reaksi yang positif dan saya yakin kemenangan akan terus berpihak kepada BN. Namun segala-galanya akan terbukti Rabu ini,” katanya.

Abu Ubaidah RedzaSeremban BN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :