Tiba masa untuk berdoa: Pas Johor

JOHOR BAHRU - Hari terakhir kempen PRU14, Pas Johor memilih untuk mengelakkan ketegangan dan perbalahan antara parti dengan menukarkannya kepada tenaga positif menerusi saluran rohani serta ibadah.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, tempoh berkempen hanyalah sekadar pecutan terakhir sahaja yang mana pihaknya sudah mengerjakan tanggungjawab merapati golongan masyarakat sejak lima tahun dahulu.

Menurutnya, untuk kegiatan terakhir sebelum tamat tempoh berkempen ini, Pas Johor akan menumpukan kepada aktiviti dakwah, solat hajat dan juga qiamullail sahaja dan ia akan dilaksanakan bersama penyokong mereka di seluruh negeri.

“Jadi, orang kata lepas penamaan calon, 11 hari itu kalau istilah orang kampung buat syarat sahaja, kita dah mula kenali orang daripada lima tahun lepas. Jadi untuk tempoh yang syarat ini parti telah jalankan sebaik mungkin dalam semua aspek macam berjumpa dan menyantuni rakyat.

“Berusaha dah banyak, kita lakukan semua tugas dengan ikhlas sekarang kita berdoa pula, Pas akan buat solat hajat, sesi qiamullail bermula daripada malam ini di seluruh negeri.

“Kita tidak boleh buat malam akhir nanti, sebab petugas2 kita perlu berehat dan cukup stamina untuk bekerja ketika hari buang undi nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, sebentar tadi.

Abdullah berkata, sehubungan itu, di peringkat parti juga mahu setiap ahlinya menjauhi sebarang perkara yang mengundang provokasi selain cuba untuk bertanding secara matang dan sejahtera.

“Kita cuma pesan bila dah sampai penghujung ini kita kena anggap yang kita dah mendahului sekarang, kita kena jauhkan daripada sebarang provokasi jangan ada perbalahan ketegangan dan benda merugikan kita, seperti peribahasa Melayu, jangan nak kejar untung sekarung rugi seguni. Jadi kita kena kawal emosi dan pastikan petugas buat kerja efisien dan menghadapi suasana pengundian ini dengan matang dan sejahtera.

“Walaupun kita, macam saya di Puteri Wangsa, lima penjuru, di Parlimen pula tiga penjuru ia tidak menjejaskan apa-apa. Kami mahu suasana berjalan dengan tenang, matang dan bertanding secara adik beradik, kita tidak mahu ada perbalahan atau sebagainya,” katanya.

Katanya, Pas sudah menyatakan sikapnya, jadi sekiranya ada provokasi yang bakal timbul pihaknya tidak mahu untuk mengambil endah malah hanya mementingkan keselamatan untuk setiap ahlinya.

“Kita mahu petugas kita minit akhir ini buat yang terbaik dan moga-moga rakyat melihatnya dan boleh memberi sokongan berterusan kepada kita,” katanya.

Mengulas mengenai penerimaan rakyat sepanjang tempoh berkempen kali ini, Abdullah menjelaskan berlaku peningkatan ketara daripada sudut penyokong terutamanya di kawasan tertentu. 

“Ada peningkatan, saya menerima laporan daripada seluruh Johor, keseluruhannya ada peningkatan baik, saya sendiri di kawasan Parlimen Tebrau nampaklah sokongan rakyat itu ada. Yelah... kalah menang itu kita tidak tahu tapi respons pengundi cukup baik boleh kata saya terima ini di seluruh Johor.

“Untuk pengundi masyarakat lain pula, kita tidak tahu sama ada dapat tercapai macam yang lepas tapi secara zahirnya respons begitu baik, kita jumpa mereka disambut dengan baik, bagi risalah mereka ambil, kita buat ceramah pun ada datang. Tetapi kita boleh melihat zahir sahaja, ketika undi kita tidak boleh baca,” katanya. 

Abdullah HussinJohor Bahru Pas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :