Konflik jika BN, Harapan menang

SHAH ALAM - Pas Selangor menjangkakan dua senario berbeza yang boleh mencetuskan konflik politik bakal berlaku sekiranya BN atau Pakatan Harapan (Harapan) menang PRU14 ini.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, untuk mengelak ia berlaku, pengundi disaran menggunakan hari cuti yang diberikan untuk pulang mengundi dan manfaatkan undi tersebut sebagai kuasa rakyat untuk pilih pemimpin serta memilih Pas sebagai pilihan utama.

“Senario pertama jika BN menang, selepas lima hari pada hari Selasa saya percaya harga minyak akan naik seperti biasa, kehidupan berjalan seperti biasa, GST akan kekal seperti itu dan mungkin beberapa janji tak dapat dilaksanakan.

“Senario kedua jika Harapan menang, selepas Tun Mahathir angkat sumpah sebagai PM, akan berlaku konflik besar untuk memilih Kabinett, sebelum ini untuk pilih calon pilihan raya juga penuh dengan konflik dan pertembungan.

"Keadaan politik Malaysia akan sentiasa tak stabil kerana masing-masing ada ‘game’ sendiri,” katanya .

Beliau berkata demikian pada sidang media harian parti di pejabat Pas Selangor, semalam.

Menurutnya, senario berbeza akan berlaku apabila Pas menang dan mengumumkan nama PM pada 10 atau 11 Mei yang seterusnya akan menubuhkan sebuah kerajaan teknokrat

“Kita akan panggil beberapa orang pakar dalam bidang tertentu untuk isi jawatan menteri, tidak semestinya ahli parlimen.

“Pada masa yang sama, sudah boleh dibuat pengumuman ketika itu bahawa GST sudah dihapuskan, hutang PTPTN juga dihapuskan yang akan beri kegembiraan kepada anak muda.

"Senario ketiga ini sudah pasti dinantikan rakyat,” katanya.

Sallehen berkata, pengundi bukan Islam tidak perlu risau kerana perjuangan Pas menerusi Gagasan Sejahtera adalah untuk memberi kesejahteraan kepada semua agama dan kaum seperti yang dibuktikan di Kelantan, tidak ada kaum yang tertindas.

Mengulas lanjut, Sallehen berkata, Pas hanya akan mengumumkan nama Menteri Besar Selangor selepas memperoleh kemenangan di negeri ini pada PRU14.

Katanya, kaedah yang digunakan itu adalah cara yang paling harmoni dan beradab diamalkan Pas sejak sekian lama.

“Perkara ini diibaratkan seperti orang hendak bersalin, nama anak diberi selepas dilahirkan, begitu juga proses pilihan raya, biar menang dulu baru kita umum.

“Bagi parti lain seperti Harapan yang menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri (PM), dia juga belum tentu menang di Langkawi. Mohamed Azmin Ali dakwa Pas tak umumkan nama MB, sebenarnya Harapan Selangor juga belum umum nama siapa bakal MB,” katanya

Beliau menegaskan semua calon yang diketengahkan Pas pada PRU14 merupakan calon yang mempunyai keupayaan untuk menjadi MB dan keputusan tersebut akan diumumkan pada 10 atau 11 Mei ini jika memperoleh kemenangan.

Sallehen MukhyiSelangor Pas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :