Banyak bendera meriah, undi belum tentu

HULU TERENGGANU - Jumlah 'kehadiran' bendera sesebuah parti dipasang segenap pelusuk menjelang tarikh keramat 9 Mei 2018, bukanlah ukuran yang melambangkan kemenangan sesuatu parti dalam PRU14.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata penyokong Pakatan Harapan (Harapan) tidak perlu takut dengan senario itu memandangkan sokongan sebenar akan diterjemahkan pada hari membuang undi.

"Tidak dinafikan kalau dibandingkan dari jumlah bendera kita ketinggalan, tetapi kehadiran bendera yang begitu banyak tidak bermakna parti itu akan menang. Saya telah ada pengalaman begini dalam hal ini.

"Saya nak mengambil pendekatan tahun 1999 lalu di Terengganu. Ketika itu BN selaku kerajaan begitu banyak bendera kalau dibandingkan dengan Pas, namun keputusan PRU10 masa itu menyaksikan BN tumbang di negeri ini.

"Begitu juga pada tahun 2004, saya lihat pada masa tersebut bendera Pas dan BN sama banyak tetapi dalam PRU berkenaan, Pas pula tewas. Jadi, jentera serta penyokong Harapan tak perlu takut, saya ada pengalaman itu dan jangan undur walaupun seinci.

"Begitu juga dengan provokasi yang mengatakan calon-calon Harapan akan hilang deposit. Itu propaganda politik...hilang deposit biasanya calon Bebas, kita bukan calon Bebas...Bersatu adalah sebuah parti politik," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tambah beliau yang juga calon PKR kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Harapan adalah pakatan empat parti yang mempunyai kekuatan tersendiri dan provokasi sedemikian sekadar diwujudkan pihak lawan untuk menakut-nakutkan pengundi Harapan.

Katanya lagi, beliau mengakui kehadiran penyokong pada Hari Penamaan Calon tempoh hari tidak seramai parti lain yang bertanding tetapi semua itu juga bukanlah bermakna rakyat tidak menerima Harapan.

"Tiada jentera parti bukan bermakna tidak punyai penyokong, cuma rakyat sukar terjemah secara jelas dan terbuka kerana ada yang diugut tidak akan terima bantuan lagi andainya menyokong parti lain selain BN.

"Mereka yang hadir itu dikategorikan sebagai pemberani khususnya di Hulu Terengganu dan boleh jadi asas membawa lebih ramai rakyat menterjemahkan sokongan pada hari mengundi.

"Negara lain parti pemerintah takut kepada rakyat tetapi negara kita, rakyat takut kepada pemerintah dan ini menunjukkan tidak boleh perintah terlalu lama sehingga pemerintah rasa semua hak kerajaan.

"Kita bagi penerangan kepada rakyat agar mereka faham yang mana kerajaan dan yang mana parti politik. Apabila kita masuk kampung, telah ada yang bertanya bermakna mereka ambil tahu dan mulai kelabu untuk sokong pihak kerajaan," ujarnya.

Razali IdrisHulu Terengganu
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :