Kuasa calon wanita di pentas PRU14

SHAH ALAM - PRU14 kali ini menyaksikan pelbagai cerita menarik tentang calon-calon yang bertanding.

Selain ramai muka baharu dibawa ke medan tempur PRU14, calon keluarga, calon bidan terjun, calon wanita tunggal juga turut mewarnai pentas pilihan raya umum kali ini.

Di Selangor, sekurang-kurangnya 10 Dun dan tiga Parlimen di Selangor calonnya dibarisi oleh calon wanita.

Trend ini menunjukkan perkembangan positif kerana kesemua parti yang bertanding dilihat semakin mengiktiraf wanita, malah peletakan calon wanita tunggal untuk berdepan pencabar-pencabar lelaki di Dun dan Parlimen membuktikan kepercayaan parti yang tinggi dengan kebolehan dimiliki mereka.

Sebahagian daripada calon tunggal wanita ini terdiri daripada calon muka lama yang memang sudah berpengalaman di kawasan tersebut sebagai contoh, Zuraida Kamarudin dari Pakatan Harapan (Harapan), Elizabeth Wong (Harapan), Rosni Sohar (BN) serta Lee Kee Hiong (Harapan).

Baki selebihnya pula adalah muka-muka baharu yang diletakkan untuk menentang pencabar lelaki yang rata-ratanya berpengalaman serta menjadi penyandang di kawasan tersebut.

Perkara biasa bertembung pencabar lelaki

Bagi calon P108 Sungai Buloh, Nuridah Mohd Salleh berkata, penyertaan beliau dalam PRU sudah memasuki kali ketiga kerana sebelum ini beliau pernah bertanding di Dun Tahan, Pahang pada PRU 2008 menentang Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN) serta di Parlimen Rompin, Pahang pada PRU 2013 menentang Allahyarham Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis.

Ketua Muslimat Pas Malaysia itu berkata, penyertaannya sebagai calon bagi PRU14 di Sungai Buloh adalah penyertaan pertamanya di Selangor.

Beliau berkata, perbezaan kali ini, bukan sahaja kesemua pencabarnya lelaki tetapi bilangannya lebih ramai iaitu membabitkan pertembungan empat penjuru menentang R Sivarasa (Harapan), A Prakash Rao (BN) dan Zainurizzam Moharan (PSM).

“Kalau nak kata gentar itu, rasanya tidak sebab saya percaya pengalaman lalu akan banyak membantu... tambah lagi, Pas punyai mesej besar untuk disampaikan kepada rakyat dan itu menjadikan saya lebih berani untuk berdepan demi menegakkan kebenaran dan keadilan buat masyarakat sejagat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, Parlimen Sungai Buloh ini majoriti penduduknya adalah masyarakat semi bandar dan Pas dapat melihat tidak wujud bias dari sudut jantina.

“Kita juga percaya dengan majoriti penduduk Melayu di kawasan ini bakal memberi kelebihan kepada Pas,” katanya.

Calon wanita punya kuasa raih lebih banyak undi

Dalam pada itu,  Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, calon wanita pada PRU14 ini dilihat mempunyai kelebihan untuk mempengaruhi atau meraih lebih banyak undi khususnya undi wanita.

Beliau berkata, jika calon itu dilengkapi dengan kebolehan bercakap yang baik, lancar serta berimej sopan santun pasti akan dapat menarik atau menjadi pilihan pengundi Melayu.

“Zaman kini wanita juga berkaliber sebagai pemimpin dan jika dilengkapi dengan kriteria-kriteria tersebut pasti dapat menambat hati dan perhatian pengundi lelaki... Terpilih atau tidak juga bergantung kepada sokongan terhadap sesuatu parti itu," katanya.

Faktor anak tempatan, pengalaman beri kelebihan

Bagi Ketua Umno Wanita Bahagian Shah Alam, Jumaeah Masdi menjadi calon tunggal wanita bertanding di N40 Kota Anggerik menentang dua lagi pencabar lelaki iaitu Mohd Najwan Halimi (Harapan) dan Ahmad Dusuki Abd Rani (Pas) juga bukan penghalang buat dirinya.

Beliau berkata, walaupun dirinya calon baharu dan satu-satunya wanita yang berentap dengan dua lagi lawan lelaki, beliau yakin pengalaman dimiliki selama 23 tahun di Jabatan Perancangan Bandar Selangor serta sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal memberi kelebihan kepadanya.

“Ini kali pertama calon wanita BN diberi peluang untuk bertanding di sini dan saya tak nafikan  memang wujud persaingan dengan calon lain.

“Tapi saya yakin faktor saya sebagai anak tempatan yang memang tinggal di Shah Alam serta pengalaman-pengalaman yang dimiliki termasuk kerja-kerja yang sudah lama saya lakukan untuk mendekati pengundi-pengundi di kawasan ini akan banyak membantu saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, beliau tidak gentar, tambah lagi penerimaan penduduk setempat terhadap dirinya dilihat sangat positif.

Fokus dekati pengundi atas pagar

Bagi satu-satunya wanita yang bertanding di N10 Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli, 33, pula menyifatkannya kelebihannya sebagai calon muda bakal memberi perubahan kepada Dun tersebut jika Harapan diberi mandat di kawasan tersebut.

Menurutnya, terdapat sedikit perasaan gentar, namun positif penduduk dan pengundi di Bukit Melawati mahukan sesuatu yang baharu berbanding yang diberikan penyandang sebelum ini.

“Calon wanita atau lelaki bukan isu tapi saya percaya rakyat mahu melihat calon yang boleh buat kerja serta berkhidmat kepada mereka. Walaupun dua lagi calon lebih berusia dan berpengaruh, saya akan bekerja keras dan fokus kini adalah menemui pengundi-pengundi atas pagar,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kempennya lebih ditumpukan kepada walkabout, ziarah dan bertemu pengundi di rumah, kedai serta pasar berbanding membuat ceramah berkelompok.

“Ceramah ini kita tahu biasanya dihadiri pengundi-pengundi yang memang sokong Harapan, saya hargai mereka tapi pada masa sama saya kena lebih tekankan untuk turun padang berjumpa pengundi atas pagar yang memang takkan datang ceramah tapi berada di rumah, pasar, kedai dan sebagainya... jadi saya kena jumpa mereka, dekati mereka,” katanya.

Zuraida KamarudinElizabeth WongRosni SoharLee Kee HiongSelangor