Lima khabar gembira untuk Sungai Siput

SUNGAI SIPUT - Penduduk di Sungai Siput bakal menerima dua sekolah baharu dan penambahan 500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekiranya BN diberi kepercayaan mengambil alih kawasan itu pada PRU14 ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dua sekolah bina baharu itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) berasrama di Lintang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) (T) di Salak.

Menurutnya, bagi memastikan manfaat untuk semua kaum, kerajaan juga bersedia untuk menambah projek bina rumah Orang Asli dan menaik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong daripada sekolah berasrama kepada sekolah berasrama penuh Orang Asli pertama di Malaysia.

"Sungai Siput sudah lama terpinggir sedangkan kita memerlukan transformasi di kawasan. Ahli Parlimen sebelum ini saya tidak tahu sama ada buat kerja atau tidak, apa jasanya kepada penduduk Sungai Siput, jadi jangan sampai pisang berbuah dua ke tiga kali.

"Untuk membuat perubahan kita perlu pada kuasa politik, hanya BN boleh membawa transformasi itu, jadi berilah mandat kepada BN, saya mahu BN menang 3-0 di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hebatkan Negaraku di Pusat Konvensyen Sungai Siput, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada PRU13 lalu, BN hanya menang di satu kerusi Dewan Negeri iaitu Dun Lintang.

BN tewas di Dun Jalong kepada kepada calon DAP dan Parlimen Sungai Siput kepada calon PKR.

Pada PRU14 ini, BN mempertaruhkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany di kerusi Parlimen Sungai Siput, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe di Dun Jalong sementara mengekalkan penyandang Dun Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Mohd Najib Abdul RazakZambry Abd KadirSungai Siput Perak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular