Tawaran buat anggota tentera

SEREMBAN - Tiga calon Pas Negeri Sembilan yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera mengumumkan sembilan tawaran khusus buat anggota tentera jika parti itu diberi mandat sebagai pemerintah.

Antara yang menarik perhatian ialah pinjaman tanpa faedah kepada anggota tentera bujang yang mahu melangsungkan perkahwinan selain turut diberi token dan menimbang semula keperluan tugas sampingan yang membebankan anggota keselamatan terbabit seperti penglibatan dalam program Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Calon Parlimen Tampin dan Dun Gemas, Mejar (B) Abdul Halim Abu Bakar berkata, ia merupakan sebahagian daripada tawaran yang akan diperjuangkan mereka untuk anggota tentera di seluruh negara.

“Pas merupakan satu-satunya parti yang merestui ramai bekas anggota tentera untuk bertanding dalam PRU14 iaitu seramai 22 orang di mana tiga di Negeri Sembilan.

“Itu menunjukkan Pas komited untuk bantu dan bela nasib anggota tentera. Tapi saya tak cakap yang kerajaan hari ini tak beri perhatian sewajarnya, tapi ada beberapa masalah yang berlarutan,” katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam.

Sementara itu, dua lagi bekas anggota tentera yang ditampilkan Pas sebagai calon ialah Ishak Omar bagi Dun Kota dan Hamran Abu Hassan bagi Dun Pertang.

Abdul Halim Abu BakarTampin Gemas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :