Janji BN Umpama Diskriminasi

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menganggap janji BN untuk memberi hak penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) sekiranya diberi mandat pada PRU14 nanti merupakan diskriminasi terhadap negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, Umno tidak sepatutnya meletak syarat tertentu semata-mata terdesak mahu merampas negeri yang ditadbir Pas, sejak 28 tahun lalu.

“Kenapa buat syarat Umno mesti perintah Kelantan baru boleh jadi tuan rumah. Umno telah perintah negara lebih 60 tahun tetapi kenapa berlaku layanan berbeza terhadap Kelantan.

“Kenapa mesti libatkan sukan dengan politik sedangkan Sukma adalah Sukan Malaysia bukan sukan (untuk) Kelantan, Kuala Lumpur atau negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian semalam ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berjanji Sukma 2022 akan diadakan di Kelantan sekiranya BN kembali memerintah negeri itu.

Menurut beliau, kenyataan yang dibuat Ketua Pemuda Umno itu tidak profesional dan menunjukkan beliau tidak ikhlas dalam menguruskan Kementerian Belia dan Sukan.

“Kalau Umno perintah (baharu) nak buat stadium, nak buat lebuh raya, nak buat itu ini dan ini menyebabkan rakyat semakin muak dengan alasan dan syarat ditetapkan oleh mereka.

“Sebab itu bila kita buat lebuh raya, dia buat juga, sekarang kita nak bina stadium, apa lagi yang perlu ada dalam Umno kalau semua perkara mesti bersyarat sedangkan parti adalah alat untuk mengurus bukan memberi penekanan ke atas rakyat,” katanya.

Tambah Abdul Fattah lagi, ketika sidang dewan 2008, beliau pernah berucap dengan meminta Kelantan diberi hak tuan rumah Sukma 2016 dengan matlamat kerajaan pusat dapat membantu membina infrastruktur sukan di negeri itu.

“Ini kita minta RM3.5juta untuk buat trek bitumen pun tak lulus. Jadi, macam mana kita nak buat? Tetapi kita yakin kalau terus mentadbir negeri ini, Kelantan masih mampu menjadi tuan rumah.

Ujarnya, hasrat untuk menjadi penganjur temasya dwitahunan itu boleh dilaksanakan menerusi penglibatan bersama negeri berjiran dengan Kelantan dari segi kaedah guna sama kemudahan sukan.

“Ambil contoh kalau Sukma buat di Seremban, mungkin ada beberapa acara boleh buat di Kuala Lumpur dan Melaka. Acara sukan tak semestinya buat di Kelantan sahaja, sebagai tuan rumah, yang penting perasmian dan penutup sahaja,” katanya.

Khairy dalam ucapannya pada satu program di Tanah Merah, Jumaat lalu terus mendedahkan Kerajaan Kelantan tidak pernah membuat permohonan peruntukan kepada KBS untuk membangunkan bidang sukan di negeri itu.

"Ini bukan janji pilihan raya tetapi kita mahu lihat rakyat juga membangun dan mampu setanding negeri-negeri lain dalam sukan dan kita berdoa dapat kerjasama dengan kerajaan negeri untuk kebaikan bersama," katanya.

Abdul Fattah MahmoodKota Bharu Kelantan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :