'Dulu kena maki, sekarang tak ada lagi'

GEORGETOWN - MCA Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya satu kerusi Dun untuk diwakilinya dalam Sidang Dun Pulau Pinang nanti bagi menyampaikan suara rakyat di negeri ini

Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, MCA tidak memenangi sebarang kerusi selama dua penggal berturut-turut dan menyebabkan suara rakyat tidak dapat dibangkitkan dalam Sidang Dun untuk dibincangkan.

Menurutnya, perkara itu disifatkan sebagai tidak sihat kerana tiada wakil pembangkang dalam sidang tersebut bagi memantau dasar-dasar kerajaan negeri.

“Sudah 10 tahun kita tak ada sebarang kerusi dalam Sidang Dun Pulau Pinang dan ini dilihat tidak sihat dalam sistem demokrasi.

"Tiada ‘check on balance’ dan tiada wakil pembangkang yang memantau dasar kerajaan (negeri).

Malah suara rakyat pun tidak dapat dibawa ke peringkat Dun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tambahnya, MCA Pulau Pinang tidak menyasarkan untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri namun berharap agar rakyat memberi peluang kepada parti itu untuk membela nasib rakyat di Pulau Pinang.

“Kita tak berhasrat nak tubuhkan kerajaan negeri, tapi sekurang-kurangnya ada wakil MCA dalam Dun nanti. Saya harap rakyat boleh bagi peluang kepada BN khususnya kepada MCA,” katanya.

Mengulas berhubung kempen yang dijalankan pihaknya sejak penamaan calon, Teik Cheng yang juga calon Dun Machang Bubok berkata, kesemua calon yang dipilih menjalankan aktiviti berkempen dengan baik dan teratur.

“Sehingga kini, kesemua calon mengadakan kempen dengan baik dengan pergi rumah ke rumah, pasar awam dan pusat penjaja. Kita bertemu rakyat dan maklum balas agak baik kali ini berbanding dahulu (PRU13). Dulu, nak jumpa pun tak mahu, ada yang kena marah, maki.

“Tetapi kali ini, tak ada dah marah atau maki. Apa yang penting, kempen kali ini tidak ada perkara negatif berlaku, malah kita mengamalkan cara ‘gentleman’ sepanjang berkempen dengan memberi pencerahan tentang dasar-dasar kerajaan,” katanya.

Jelasnya, dari maklum balas yang diterima, beliau yakin BN dan MCA serta parti komponen lain akan memberi tentangan hebat kepada Pakatan Harapan (Harapan) pada pilihan raya kali ini.

“Dengan maklum balas yang diterima, saya yakin kita ada peluang cerah dalam PRU14 kali ini.

"Saya berpuas hati dengan usaha calon yang berani menghadapi cabaran bertemu pengundi.  Mungkin juga ini petanda bahawa rakyat kini dah mula mahu dengar dari kedua-dua belah pihak (pembangkang dan kerajaan negeri)," katanya.

MCA akan mengadakan ceramah mega di tiga lokasi iaitu di Butterworth bagi Parlimen Bagan (4 Mei), di Dun Machang Bubok untuk Parlimen Bukit Mertajam (5 Mei), manakala di kawasan pulau, satu ceramah akan diadakan pada 6 Mei di Dewan Perhimpunan Cina dan ceramah bersama Gerakan pada 8 Mei di lokasi sama.

Tan Teik ChengMCA Pulau Pinang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :