Strategi perang saraf burukkan mahathir di langkawi

LANGKAWI – Nampaknya strategi perang saraf  sempena PRU14  di Langkawi 'makin panas' dengan sasaran kali ini tertumpu kepada komuniti Cina di pulau peranginan bebas cukai itu.

Berdasarkan aduan dan tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan perumahan dihuni masyarakat Cina dan medan selera, rata-rata penduduk memaklumkan bahawa mereka menerima edaran risalah empat muka surat yang diletakkan di dalam peti surat dan cermin kereta.

Edaran risalah bersifat perang saraf itu mengandungi 33 perkara yang memburukkan nama calon Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (Harapan) dalam bahasa Cina.

Seorang penjual buah, Wong Bun Yong, 72, berkata, dia menyedari risalah itu diletakkan dalam peti surat rumahnya pada Khamis malam, iaitu sebelum Dr Mahathir tiba di Langkawi untuk penamaan calon.

“Saya sampai rumah sekitar jam 10 malam, perasan ada kertas dalam peti surat, saya ambil dan baca.

“Kandungan risalah itu menyenaraikan keburukan dilakukan Mahathir terutamanya kepada komuniti Cina, selama 22 tahun menjadi perdana menteri sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Bui, 54, mendedahkan, edaran risalah itu bertujuan menenggelamkan sokongan pengundi Cina di Langkawi terhadap Mahathir.

“Mereka tulis jika Mahathir menang, beliau akan kembali kepada Umno.

“Mereka juga dakwa selama 22 tahun jadi perdana penteri, Mahathir cuba merosakkan politik, ekonomi, budaya dan pendidikan Cina namun tidak berjaya,” katanya.

Selain itu, menurut Ah Bui lagi, risalah itu menuduh kini Mahathir menguasai DAP bagi menindas kaum Cina.

Seorang aktivis sosial, Mary Lim, 60, berkata, pengundi Cina tidak bodoh untuk menilai, mereka tahu membuat pilihan terbaik pada 9 Mei ini, tidak perlu berbuat khianat.

“Kita tahu buat pilihan, tak perlu buat khianat merosakkan nama baik orang lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, masyarakat Cina di Langkawi memaklumkan bahawa edaran risalah yang memburukkan Mahathir itu tidak sedikit pun meranapkan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan beliau.

Malah tanpa berselindung mereka mendedahkan 80 peratus pengundi Cina di Langkawi bersama Mahathir dan Harapan.

Risalah yang diedarkan ke setiap rumah di kawasan penghuni Cina turut menulis kononnya, Operasi Lalang ialah bukti Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba memusnahkan sekolah jenis kebangsaan Cina.

Turut terpapar tulisan, jangan biar Mahathir bunuh Cina sekali lagi, #undirosak.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan ini, Ketua Penerangan Pakatan Harapan Langkawi, A. Gunasagaran berkata, ini ialah taktik kotor BN menyebarkan fitnah provokasi supaya komuniti Cina tidak menyokong Tun Mahathir kerana beliau kini sudah bersama pembangkang.

“Saya yakin pengundi di Langkawi bijak menilai dan tidak mudah termakan fitnah musuh politik Harapan.

“Jika pemimpin BN sertai pembangkang hari ini, minggu depan juga semua keburukan akan didedahkan bagi merosakkan namanya. Inilah dikatakan musuh politik,” katanya.

Langkawi PRU
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular