Bekas Pengarah JPP Kelantan tak tertekan

PASIR MAS - Bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Yahaya Mamat tidak tertekan selaku calon baharu BN untuk kerusi Dun Tendong pada PRU14 ini.

Yahaya berkata, dunia politik bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya dan selaku bekas Pengarah JPP Kelantan, beliau sudah terdedah dengan perkara-perkara tersebut ketika membantu Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, beliau juga pernah terlibat dalam gerak kerja pembangunan di kawasan-kawasan Parlimen dan Dun di seluruh negeri ini.

“Pengalaman itulah yang saya akan manfaat sebaik mungkin untuk membantu kemenangan BN di kerusi Dun Tendong,” katanya.

Yahaya berkata, selaku calon baharu, beliau akan bekerja lebih keras dengan menjelajah ke seluruh 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Dun Tendong.

Katanya, jelajah itu adalah untuk bertemu dan mengenal pengundi dengan lebih dekat.

“Saya akui tempoh untuk berkempen agak padat, namun itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Apa yang penting, kita perlu susun jadual dengan sebaik mungkin untuk bertemu dengan pengundi di akar umbi,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada seluruh jentera Dun Tendong yang begitu bersemangat dalam melakukan gerak kerja untuk memberi kemenangan kepada BN.

Katanya, situasi itu membuatkan beliau begitu teruja untuk bekerja lebih keras bagi merampas kerusi Dun Tendong.

Yahaya bakal ditentang penyandang kerusi berkenaan, Rozi Muhamad dari Pas, Dr Wan Zulkhairi Wan Mohd Zin (Bersatu) dan Datuk Dr Ibrahim Ali (calon rakyat).

Pada PRU13 lalu, Rozi menewaskan Datuk Hanafi Mamat (BN) dengan majoriti 978 undi.

Yahaya MamatPasir Mas BN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :