Pertandingan empat penjuru di Sungai Buloh

KOTA DAMANSARA - Proses penamaan calon bagi Parlimen Sungai Buloh yang berlangsung di Sekolah Menengah Seksyen 8 Kota Damansara berjalan lancar tanpa sebarang provokasi mahu pun kekecohan tercetus di antara para penyokong setiap parti terlibat.

Menerusi pemerhatian Sinar Harian, setiap penyokong parti dilihat mula berhimpun seawal jam 7 pagi sebelum berarak menuju ke kawasan perkarangan sekolah terbabit.

Di samping itu, setiap penyokong parti juga dilihat bersorak dan melaungkan kata-kata semangat ketika sedang berarak menuju ke lokasi penamaan calon.

Difahamkan, hanya calon, pencadang dan penyokong sahaja dibenarkan masuk ke dalam bilik penamaan calon bagi menyerahkan borang kepada wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selepas selesai proses penyerahan borang penamaan calon, Pengurus Pilihan Raya Sungai Buloh, Roslinah Md Jani mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Menerusi pencalonan yang diterima SPR kali ini, kerusi Parlimen Sungai Buloh dan Kota Damansara bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru manakala Paya Jaras pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Dalam PRU14 kali ini, BN dilihat mempertaruhkan A.Prakash Rao bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh manakala Datuk Halimaton Saadiah Bohan dan Datuk Zein Isma Ismail pula diletakkan bagi kerusi Dun Kota Damansara serta Paya Jaras.

Bagi Harapan pula, pada kali ini mereka meletakkan penyandang Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh manakala Mohd Khairuddin Othman dan Shatiri Mansor diletakkan untuk kerusi Paya Jaras serta Kota Damansara.

Selain itu, Pas juga turut meletakkan Nuridah Mohd Salleh sebagai calon bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh manakala Siti Rohaya Ahad dan Mohd Hanafi Zulkapli pula dijadikan sandaran bagi kerusi Dun Kota Damansara dan Paya Jaras.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga turut bertanding pada kali ini apabila meletakkan calon mereka, Zainurizzam Moharam di kerusi Parlimen Sungai Buloh dan A. Sivarajan pula bagi kerusi Dun Kota Damansara.

Sungai Buloh
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :