Mantan MP BN antara taruhan Harapan

KUALA TERENGGANU - Bekas Ahli Parlimen BN, pegawai kanan tentera dan calon paling muda di Terengganu antara taruhan Pakatan Harapan (Harapan) untuk bertanding dalam PRU14 kali ini.

Mohd Nor Othman yang merupakan mantan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, sebelum ini menang pada PRU12, sebelum namanya digugurkan dalam PRU13 dan dalam PRU14 ini, dia akan bertanding atas tiket PKR di kerusi Dun Kuala Berang.

Manakala pegawai kanan tentera yang pernah berkhidmat selama 35 tahun dalam ATM, Lt Kol (B) Abu Bakar Abdullah, 61, pula akan mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di kerusi Seberang Takir.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu pula mempertaruhkan calon paling muda yang juga Ketua Penerangannya, Amir Long, 31, bagi kerusi Dun Batu Rakit serta bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Zulkifli Mohamad, 62, bagi kerusi Dun Ladang.

Pengerusi Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ketika Majlis Pengisytiharan Calon Harapan Terengganu untuk PRU14 di The Regency Waterfront Hotel, di sini, turut mengumumkan Harapan akan bertanding di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dun.

Menurutnya, Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus serta 11 kerusi Dun manakala Bersatu bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu Hulu Terengganu, Besut dan Setiu serta 10 kerusi Dun.

PKR pula akan bertanding di dua kerusi parlimen iaitu Dungun dan Kemaman serta 11 kerusi Dun.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai siapa calon Menteri Besar sekiranya Harapan memenangi PRU14, Raja Bahrin berkata, ia bukan keutamaan ketika ini kerana tumpuan harus diberikan dalam usaha memenangi pilihan raya.

Jelasnya, perbincangan tentang itu belum dilakukan dan menegaskan, pemilihan Menteri Besar adalah kuasa muktamad Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mohd Nor OthmanHulu Terengganu Kuala Berang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :