Zambry Abd Kadir

Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Pangkor, Negeri Perak dan menjadi Menteri Besar Perak pada 12 Mei 2009 selepas 3 Adun Pakatan Rakyat menjadi Adun Bebas. DR. ZAMBRY ABD KADIR dilahirkan pada tanggal 22 Mac 1962 di Pulau Pangkor, sebuah pulau nelayan di negeri Perak. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke 11 pada 12 Mei 2009. Berkahwin dengan Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli pada 1 Nov 1987, pasangan tersebut dikurniakan dengan lima orang cahayamata - Husna, Huda, Syifa, Munir dan Mukhlis.
 

Jawatan yang pernah disandang

  • Dr. Zambry merupakan seorang yang disegani dalam dunia akademia kerana kepakaran beliau dalam bidang ekonomi dan politik, pemikiran politik, politik kontemporari di Asia Tenggara dan pemikiran politik Malaysia.
  • Beliau juga merupakan pentadbir yang berpengalaman luas termasuk pengalaman sebagai pengurus dan pentadbir di peringkat universiti, badan pemikir, organisasi pemberi khidmat nasihat dan pejabat politik.
  • Pengalaman lain termasuk sebagai pembantu Professor di Jabatan Sains Politik (UIAM) sehingga Ogos 2000, pengarah eksekutif Centre for Leadership & Development Studies (CELDES) daripada 1996 hingga Ogos 2000, ketua Pembangunan Kurikulum Dan Islamisasi  di Jabatan Sains Politik UIAM pada  tahun 1999, ketua panel konsultansi, program Khidmat Sosial Negara, Kementerian Belia dan Sukan (1997) serta Ahli Perunding, Agenda Melayu Abad ke 21 (1998). Beliau juga merupakan pengerusi konferensi Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat pada tahun 1994,  pengarah Pertemuan Intelektual Asia Tenggara (SEAM) di Amerika Syarikat pada tahun 1994, Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia di Amerika Syarikat(1994-1995), Pengarah Diskusi Intelektual UIA-IIIT untuk kakitangan UIA di Amerika (1993), coordinator kursus bagi Pusat Matrikulasi UIA (1988-1989), Ahli Jawatankuasa Rayuan (MATRIC)  bagi tahun 1989 – 1990, Fellow bagi Kolej Pelajar (1993-1994), Ahli Diskusi Intelektual, Institut Perkembangan Minda (INMIND) tahun 1995, konsultan bagi program kepimpinan pelajar Malaysia di Amerika dan menjadi tamu intelek bagi program yang dianjurkan oleh Kerajaan Jepun (2002).
  • Adjung Professor di Jabatan Sains Politik, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuatkuasa pada 1 November 2015 hingga 31 Oktober 2017.
     
Parti Gabungan: Barisan Nasional
Parti: UMNO
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU14

Kerusi Bertanding PARLIMEN:
  • PRU14- P74 Lumut

Kerusi Bertanding DUN:
  • PRU11- P74 Lumut N52 Pangkor
  • PRU12- P74 Lumut N52 Pangkor
  • PRU13- P74 Lumut N52 Pangkor
  • PRU14- P74 Lumut N52 Pangkor

Pendidikan

  •  Dr. Zambry mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan dan Menengah di Pulau Pangkor sebelum meneruskan pengajian peringkat Menengah atas di Sekolah Menengah Bukit Gantang, Parit Buntar yang terletak di tanah besar.
  • Beliau memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pemikiran Politik daripada Universiti Temple, Amerika Syarikat (1995) dengan pengkhususan dalam bidang Politik Kontemporari selepas menamatkan ijazah peringkat Sarjana dengan pengkhususan dalam bidang Falsafah Politik Dan Perbandingan Agama di universiti  yang sama (1992).
  • Menteri Besar Perak yang ke 11 ini juga mempunyai Ijazah Sarjana  (kepujian) dalam pengkhususan Pemikiran Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1991, selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Ekonomi di universiti itu dengan pengkhususan Ekonomi, Pembangunan Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa. Baru-baru ini beliau turut mengikuti Program Eksekutif  Pembangunan Kepimpinan bertajuk “Leaders in Development – Managing Change in a Dynamic World", selama dua minggu di Universiti Harvard, USA (Jun 2015).